Wednesday, May 20, 2009






Dari kiri, Azeli Ali, penulis dan Zhafaran Nasib
Pak Ud (gambar atas)
Salam..
Akhirnya, setelah sekian lama aku stop mende blog-blog nih, hari ni aku ambil keputusan untuk aktif balik (kononnya la). Orang lain ada blog, aku pun nak ada blog gak. Sampai bila nak baca blog orang aje kan? Terima kasih kepada Azeli Ali (wartawan Kosmo P. Pinang) kerana `menyedarkan' aku semula (padahal mamat ni takde attention nak buat macam tu pun). Walaupun aku kena kutuk oleh mamat Ganu nih (kadang² dia ngaku dia orang Peghak) dengan mengatakan url blog aku nih macam budak sekolah rendah, namun aku tekadkan semangat untuk meneruskan perjuangan (macam nak pi berperang lak).

Alamak! Baru nak sambung taip, tiba-tiba mata aku terpandang satu lembaga tinggi di tepi aku. Aku amat mengenali lembaga itu dan telah mengenalinya kira-kira 1 tahun setengah yang lalu ketika aku datang ke Penang. Mamat lembaga ni mempunyai nama. Namanya Amirul Amin @ nama glamernya, Pak Ud. Dia ni nak kata hensem, aku rasa Zhafaran Nasib (jurugambar Kosmo Penang) hensem lagi tapi Pak Ud ni ala² penyanyi Akon tu la (yang nyanyi lagu Lonely).
Miahahaha!

Kelihatan Nurul Huda Hassan sedang terkalut-kalut mencari local story untuk hari ni. Penang hari ni memang dry, takde sebarang esaimen. Aku ok le gak tadi gi pc polis kat IPK, rampasan ganja Rm900K. Bos aku, Abu Hakim takde hari ni sebab ada meeting hapa ntah kat KL nun! Kiranya tenang sket la! Ahaks!

'Andai diberi emas permata, kupilih senyumanmu'.. Antara bait-bait lagu yang aku sedang dengar sekarang ni. Lagu rock kapak nih. Memang mantop tapi sayangnya aku tak tau kumpulan apa dan tajuk apa lagu nih! Aku memang lemah bab-bab macam tu. Kalau masuk rancangan Aznil Hj. Nawawi, Jangan Lupa Lirik tu tobat aku kalah teruk! Miahahaha!

Petang ni, bebudak tu nak main badminton plak! Aku keseorangan lagi le nampaknya! Nak balik awal skitlah.. nak amik baju dobi kat Taman Pekaka tu. Aku rasa tak sampai RM10 aku kena caj sebab tak banyak sangat pakaian. Korang mesti kata aku pemalas kan sebab tak basuh baju sendiri? Lu pikir la sendiri..!!

Ok la, aku pun malas nak taip panjang² sebab post aku kali ni sekadar introduction je setelah lama menyepi. Tapi kali ni aku nak tulis blog santai-pantai saja. Tak mau terlalu serius sebab korang mesti malas nak baca punya. Aku lagi la malas nak taip mende serius² sangat! Seriuuusssss aku cakap nih! Miahahahahaha!

Wassalam..

Labels:

Sunday, July 30, 2006






Penulis (berbaju biru) berada di belakang Khairy Jamaluddin (KJ) ketika beliau mengerang kesakitan akibat terjatuh dihimpit orang ramai.





SEBAHAGIAN daripada ribuan rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi bagi membantah kekejaman Israel ke atas Lebanon dan Palestin di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.

Gelombang kemarahan rakyat -- 10,000 tuntut Setiausaha Negara AS dengar bantahan terhadap keganasan Israel

Oleh SYAHRIL A. KADIR dan FAIROL REDZA ISMAEL

KUALA LUMPUR 28 Julai – Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama hari ini bersatu dalam gelombang kemarahan ke atas kuasa besar Amerika Syarikat (AS) kerana ‘berpeluk tubuh’ melindungi Israel yang bermaharajalela membunuh penduduk Lebanon dan Palestin.

Mereka mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bagi menuntut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice - yang berada dalam bangunan itu - keluar bagi membolehkan suara mereka didengar.

Kumpulan itu cuba memecah masuk ke dalam bangunan itu untuk bertemu dengan Rice yang sedang menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF), namun dihalang oleh polis antirusuhan.

‘‘Turun bawah sini atau kami akan masuk melalui pintu ini,’’ jerit Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mengetuai perhimpunan 10,000 orang itu.
Beliau juga mendesak AS menggunakan kuasanya menghentikan kempen ketenteraan Israel di Lebanon dan menuntut Rice menemuinya bagi menerima memorandum mereka.

Rice tidak keluar.

Namun, Rice dalam sidang akhbar petang ini berkata, AS akan membantu pihak-pihak yang terbabit dalam konflik Israel-Lebanon menampilkan syarat-syarat yang boleh membawa kepada gencatan senjata lebih awal.

“Kami berharap untuk mencapainya secepat mungkin bagi menamatkan keganasan ini. Itu yang kami harapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir forum itu.
Sambil menggenggam penumbuk ke udara, penunjuk perasaan yang terdiri daripada anggota Barisan Nasional (BN) dan Pas itu melaung slogan ‘Allahuakbar dan Jahanam Israel, Jahanam Amerika’.

Perhimpunan yang diadakan dalam hujan lebat itu bermula selepas solat Jumaat di Masjid As-Syakirin berhampiran Menara Berkembar Petronas sebelum ia diteruskan ke KLCC, tempat berlangsungnya Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-39.
Mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat, bendera Israel dan patung menyerupai Presiden George W. Bush, Rice serta Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.

Beberapa orang pemimpin kanan Pemuda UMNO, MCA, MIC, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr. Chandra Muzaffar turut mengambil kesempatan menyampaikan pidato mengutuk kekejaman rejim Zionis itu sambil melaungkan ungkapan ‘Jahanam Israel, Celaka Bush dan Halau Rice’.
Khairy dalam sidang akhbar selepas itu berkata, pihaknya mahu negara-negara Islam keluar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Apa guna jadi ahli PBB kalau majoriti ahli PBB tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa veto yang dimiliki negara-negara besar.

“Jikalau institusi yang ditubuhkan untuk menjaga keamanan dunia sudah tidak berfungsi dengan baik, kita harus keluar daripada pertubuhan tersebut,’’ tegas beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Malah beliau turut mengajak negara-negara Islam memikirkan tindakan ketenteraan bagi menyekat keganasan rejim Zionis itu.
Katanya, kalau negara-negara Islam seperti Iran dan Pakistan ada senjata yang begitu kuat dan hebat, kenapa negara-negara Islam itu tidak bertindak bagi mempertahankan bumi Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, perhimpunan yang pada mulanya berjalan dengan aman itu tiba-tiba bertukar kecoh apabila Khairy dihalang oleh polis untuk masuk ke KLCC bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Rice.

Bagaimanapun Khairy akhirnya dibenarkan masuk melalui pintu yang disediakan khas untuk pihak media dan berjaya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang juga Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan menyifatkan demonstrasi tersebut sebagai cerminan suara rakyat Malaysia yang mahukan dunia menyelamatkan Palestin dan Lebanon.

Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menyertai perhimpunan itu pula berkata, generasi muda Malaysia akan terus lantang mengecam kezaliman Israel.