Sunday, July 30, 2006






Penulis (berbaju biru) berada di belakang Khairy Jamaluddin (KJ) ketika beliau mengerang kesakitan akibat terjatuh dihimpit orang ramai.





SEBAHAGIAN daripada ribuan rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi bagi membantah kekejaman Israel ke atas Lebanon dan Palestin di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.

Gelombang kemarahan rakyat -- 10,000 tuntut Setiausaha Negara AS dengar bantahan terhadap keganasan Israel

Oleh SYAHRIL A. KADIR dan FAIROL REDZA ISMAEL

KUALA LUMPUR 28 Julai – Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama hari ini bersatu dalam gelombang kemarahan ke atas kuasa besar Amerika Syarikat (AS) kerana ‘berpeluk tubuh’ melindungi Israel yang bermaharajalela membunuh penduduk Lebanon dan Palestin.

Mereka mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bagi menuntut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice - yang berada dalam bangunan itu - keluar bagi membolehkan suara mereka didengar.

Kumpulan itu cuba memecah masuk ke dalam bangunan itu untuk bertemu dengan Rice yang sedang menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF), namun dihalang oleh polis antirusuhan.

‘‘Turun bawah sini atau kami akan masuk melalui pintu ini,’’ jerit Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mengetuai perhimpunan 10,000 orang itu.
Beliau juga mendesak AS menggunakan kuasanya menghentikan kempen ketenteraan Israel di Lebanon dan menuntut Rice menemuinya bagi menerima memorandum mereka.

Rice tidak keluar.

Namun, Rice dalam sidang akhbar petang ini berkata, AS akan membantu pihak-pihak yang terbabit dalam konflik Israel-Lebanon menampilkan syarat-syarat yang boleh membawa kepada gencatan senjata lebih awal.

“Kami berharap untuk mencapainya secepat mungkin bagi menamatkan keganasan ini. Itu yang kami harapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir forum itu.
Sambil menggenggam penumbuk ke udara, penunjuk perasaan yang terdiri daripada anggota Barisan Nasional (BN) dan Pas itu melaung slogan ‘Allahuakbar dan Jahanam Israel, Jahanam Amerika’.

Perhimpunan yang diadakan dalam hujan lebat itu bermula selepas solat Jumaat di Masjid As-Syakirin berhampiran Menara Berkembar Petronas sebelum ia diteruskan ke KLCC, tempat berlangsungnya Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-39.
Mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat, bendera Israel dan patung menyerupai Presiden George W. Bush, Rice serta Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.

Beberapa orang pemimpin kanan Pemuda UMNO, MCA, MIC, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr. Chandra Muzaffar turut mengambil kesempatan menyampaikan pidato mengutuk kekejaman rejim Zionis itu sambil melaungkan ungkapan ‘Jahanam Israel, Celaka Bush dan Halau Rice’.
Khairy dalam sidang akhbar selepas itu berkata, pihaknya mahu negara-negara Islam keluar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Apa guna jadi ahli PBB kalau majoriti ahli PBB tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa veto yang dimiliki negara-negara besar.

“Jikalau institusi yang ditubuhkan untuk menjaga keamanan dunia sudah tidak berfungsi dengan baik, kita harus keluar daripada pertubuhan tersebut,’’ tegas beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Malah beliau turut mengajak negara-negara Islam memikirkan tindakan ketenteraan bagi menyekat keganasan rejim Zionis itu.
Katanya, kalau negara-negara Islam seperti Iran dan Pakistan ada senjata yang begitu kuat dan hebat, kenapa negara-negara Islam itu tidak bertindak bagi mempertahankan bumi Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, perhimpunan yang pada mulanya berjalan dengan aman itu tiba-tiba bertukar kecoh apabila Khairy dihalang oleh polis untuk masuk ke KLCC bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Rice.

Bagaimanapun Khairy akhirnya dibenarkan masuk melalui pintu yang disediakan khas untuk pihak media dan berjaya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang juga Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan menyifatkan demonstrasi tersebut sebagai cerminan suara rakyat Malaysia yang mahukan dunia menyelamatkan Palestin dan Lebanon.

Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menyertai perhimpunan itu pula berkata, generasi muda Malaysia akan terus lantang mengecam kezaliman Israel.


2 Comments:

Blogger minda^saiful said...

Menarik tu dapat duduk belakang KJ tp rasa macam kelakar tengok 'kesunguhan' KJ sampai terherot2...hehehehe..macam fake orgasm

9:32 PM  
Anonymous Anonymous said...

wah wah wah... sungguh hebat sang penulis.

syabas mere bete.

3:02 AM  

Post a Comment

<< Home